August 30, 2010

Salam MERDEKA untuk semua rakyat Malaysia!....."Selamat menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-53"



Salam untuk semua.  Alhamdulillah...terasa bersyukur sangat kerana dilahirkan di bumi bertuah Malaysia yang tercinta ni.   Semoga Malaysia akan sentiasa aman dan tenteram...jauhkanlah daripada sebarang kekacauan dan ketidakstabilan yang mampu mengganggu-gugat perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama di negara ni.  Kita memang wajib berterima kasih kepada semua tokoh pejuang kemerdekaan yang telah mempertaruhkan jiwa dan raga mereka demi mencapai sebuah kemerdekaan dan mempertahankan kedaulatan negara ini.  Hari ini telah 53 tahun negara kita merdeka...oleh itu adakah kita sanggup untuk menghancurkan apa yang telah kita perolehi?  Persoalan inilah yang perlu kita tangani dengan jiwa yang patriotik dan berintegriti!  Kalau bukan kita...siapa lagi yang sepatutnya memelihara imej dan maruah tanahair berdaulat ini?  Atas dasar ini amat penting untuk semua rakyat Malaysia bersatu...lupakan segala perbezaan yang ada...yang penting kita mencapai matlamat yang sama...KEAMANAN!

Sememangnya kita pencinta damai...katakan tidak kepada segala bentuk kekerasan,  penindasan,  kesombongan,  kerakusan dan kezaliman.  Adalah amat malang sekiranya ada di antara kita merasa sangat 'merdeka' untuk melakukan segala kebejatan nafsu serakah haiwani itu tadi...nauzzubillah.  Namun,  hakikat itulah yang dilakukan terhadap saudara muslim kita di luar sana...FREE PALESTINE!



Kepada adik-adik dan generasi muda,  hayatilah erti kemerdekaan yang sebenarnya...jangan alpa dengan segala ke'merdeka'an yang dinikmati malah ada yang dicipta sendiri dengan lebih menggerunkan lagi.  Setiap hari di media cetak mahupun elektronik,  cerita bayi dibuang bagaikan sampah sudah menjadi berita wajib untuk kita...bagaikan tiada penamat.  Nampaknya kita belum merdeka lagi...masih dibelenggu dan dijajah dengan budaya hedonisme yang berpaksikan konsep kebaratan. Ya...dikatakan bahawa syaitan dibelenggu di bulan Ramadhan ini dan adakah kita termasuk di dalam golongan yang seronok untuk turut bersama-sama syaitan yang dibelenggu itu?  Atau kita pula yang sukarela mengambil-alih tugas-tugas syaitan yang direjam?  Semuanya gara-gara tidak memelihara roh Ramadhan dan gagal menghayati  erti kemerdekaan yang sebenar.  Wallahu'alam.


Cuba baca berita di bawah ini :-
ARKIB : 30/08/2010

Bayi digantung pada tiang papan tanda

SHAH ALAM 29 Ogos - Masih ada pihak yang tergamak membuang bayi yang masih hidup - kali ini bayi lelaki, dipercayai baru dilahirkan dan ditemui dalam sebuah beg kertas serta digantung pada sebatang tiang papan tanda kira-kira pukul 5.30 petang ini.
Ketika ditemui di persimpangan lampu isyarat berhampiran kondominium Brunsfield di Seksyen 13 di sini, bayi malang itu masih bertali pusat.
Menurut Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaludin, bayi itu ditemui oleh seorang lelaki tempatan dalam keadaan berbalut dengan kain batik.
"Polis dimaklumkan mengenai penemuan yang masih dalam keadaan sempurna malah, urinya masih terlekat," katanya kepada pemberita di sini lewat petang ini.
Berikutan penemuan itu, Azam meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pembuangan bayi tersebut diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.
Kes ini, katanya, disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu membuang bayi.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0830&pub=Utusan_Malaysia&sec=Jenayah&pg=je_06.htm

Hmmm...nampaknya entri saya kali ni agak serius sikit.  Ok lah mudah-mudahan sambutan hari kemerdekaan yang jatuh pada Ramadan al-Mubarrak 1431H ini akan beroleh rahmat dan keberkatan daripada Allah SWT.  Semoga para pemimpin negara kita diberi kebijaksanaan,  kesabaran dan petunjuk agar dapat memimpin Malaysia yang unik ini ke arah kecemerlangan.


"1MALAYSIA MENJANA TRANSFORMASI"

No comments: